Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 akan membantu merangsangkan tindak balas sistem imun yang menurun dan meningkatkan peneutralan antibodi untuk melawan varian yang mudah berjangkit.

Pharmaniaga Berhad dalam kenyataan hari ini berkata, berdasarkan kajian berkaitan dos penggalak yang dijalankan ke atas populasi dewasa dan warga emas, suntikan ketiga tersebut amat disyorkan.

Syarikat Farmaseutikal itu berkata, perkara itu diputuskan oleh pakar-pakar yang menghadiri seminar secara maya anjuran syarikat berkenaan hari ini yang bertajuk "Covid-19 Booster Shots and Vaccination for Children: Moving forward with experiences from China, Chile, and Indonesia (Suntikan Dos Penggalak Covid-19 dan Vaksinasi untuk Kanak-Kanak: Bergerak Maju melalui pengalaman daripada China, Chile dan Indonesia).

"Barisan panel seminar ini mengakui bahawa mengambil dos penggalak akan meningkatkan antibodi yang mulai menurun secara ketara dalam tempoh enam bulan selepas dos kedua, menurut kajian berkenaant," demikian menurut kenyataan itu.

Seorang ahli panel, Pengarah Kanan Perniagaan Luar Negeri Sinovac Co Ltd Weining Meng berkata, suntikan penggalak yang diberikan dalam selang enam ke 12 bulan selepas dos kedua, akan merangsang tindak balas imun menyebabkan rata-rata titer geometrik (GMT) meningkat menjadi anggaran sekitar 140.

Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan di Akademi Sains China, Universiti Peking dan Sinovac Biotech, data yang diperoleh menunjukkan dos ketiga akan menjadikan perlindungan vaksin lebih lama dan mempunyai daya tahan berterusan.

Meng berkata, tempoh pemberian dos penggalak haruslah mengambil kira kewujudan jangkitan Covid-19 di dalam negara dan kes-kes yang berjaya sembuh selepas vaksinasi utama.

"Nilai GMT enam bulan selepas dos ketiga lebih tinggi daripada nilai GMT tertinggi pada dos kedua. Kajian juga menunjukkan antibodi yang lebih berdaya tahan enam bulan selepas dos penggalak, berbanding dos kedua, yang menunjukkan tempoh perlindungan yang lebih lama daripada Covid-19 dan varian baharu," tambah Meng.

Sehingga kini, Sinovac Biotech Co sudah membekalkan lebih 2 bilion dos CoronaVac kepada seluruh dunia dan 810 juta dos diberikan kepada negara-negara di luar China setakat 12 Oktober lalu, manakala kira-kira 1.2 bilion dos digunakan di republik itu.

Sementara itu, Profesor dan Pengarah Imunologi dan Imunoterapi Institut Millennium dari Chile Dr Alexis M Kalergis berkata, kebanyakan vaksin yang diterima oleh rakyat negaranya adalah daripada Sinovac.

"Di Chile, penguat kuasa sudah membenarkan penggunaan vaksin CoronaVac untuk kanak-kanak berusia dari enam tahun hingga yang lebih tua dan kempen vaksin ini bergerak lancar setakat ini, susulan profil keselamatan yang lebih baik dalam populasi pediatrik," katanya sambil menambah vaksin Sinovac sudah terbukti selamat dan berkesan bagi populasi rakyat Chile.

Beliau turut menyokong kenyataan bahawa suntikan dos penggalak adalah selamat dan meningkatkan antibodi peneutralan dalam kalangan orang dewasa yang sihat.

"Keberkesanan dos penggalak vaksin Sinovac dijangkakan sangat berkesan. Pakar-pakar fraterniti Chile lebih selesa menggunakan vaksin Sinovac kerana ia adalah daripada pengeluar vaksin tidak aktif yang mengeluarkan vaksin yang digunakan secara meluas sebelum ini seperti vaksin polio.

"Tidak dinafikan vaksin lain juga efektif, tetapi sebab utama kita memutuskan untuk bekerja dengan pengeluar vaksin tidak aktif – Sinovac, ialah kerana data menunjukkan bahawa ia lebih menyeluruh dari segi tindak balas imun," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 10:15 PM