GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Junita Mat Rasid

Johor Bahru: Pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini digalakkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan melalui aplikasi MySPR Semak.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari 8 pagi hingga 6 petang atau waktu yang diwartakan di pusat mengundi masing-masing.

Katanya, 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 orang pengundi berdaftar, layak mengundi pada Sabtu ini, manakala 21,407 orang adalah pengundi awal dan 36,729 orang sudah mengundi secara pos.

"SPR juga melalui aplikasi MySPR Semak, meletakkan maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan untuk setiap pengundi dan pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan tersebut.

"Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan khas pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ikmalrudin berkata, bagi pengundi yang mengetahui maklumat pengundian, disaran terus ke saluran mengundi yang ditetapkan.

Katanya, pengundi juga disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi melalui saluran portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my, Aplikasi MySPR Semak atau hotline SPR di talian 03-8892 7018.

Beliau berkata, semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat mengenai pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

"Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

"Catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

"Selain itu, pengundi juga dinasihatkan untuk menyimpan kad pengenalan mereka dengan selamat dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain kecuali petugas pilihan raya di pusat mengundi masing-masing.

"SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Sabtu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 11:16 AM