HASNI dan calon Perikatan Nasional (PN) Senator Datuk Isa Ab Hamid beramah mesra pada sesi  tinjauan mesra sempena kempen PRN Johor ke-15 bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) N 53 Benut di Kampung Parit Bertak.
HASNI dan calon Perikatan Nasional (PN) Senator Datuk Isa Ab Hamid beramah mesra pada sesi tinjauan mesra sempena kempen PRN Johor ke-15 bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) N 53 Benut di Kampung Parit Bertak.
Oleh Mahaizura Abd Malik

Johor Bahru: Bukan tamak kuasa sebaliknya keputusan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bertujuan memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan stabil yang boleh mentadbir negeri ini dengan lebih baik.

Pengarah PRN Johor Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kestabilan politik adalah kunci untuk memastikan kesejahteraan dan kemajuan ekonomi negeri ini berada di landasan betul.

"Ada orang kata kita tamak kuasa. Kalau tamak, Datuk Seri Hasni Mohammad tak (akan) berhenti menjadi Menteri Besar kerana beliau ada lebih 400 hari lagi untuk tamatkan penggalnya sehingga Mei 2023.

"Tetapi, mengapa dia letak jawatan dan bubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun)? Kerana tidak adanya kestabilan politik di Johor ini yang akan merugikan orang Johor.

"Johor negeri besar yang antara faktor utamanya ialah pintu masuk Malaysia, jadi politik di Johor ini perlu diperbetulkan supaya kestabilan politik akan dapat menarik lebih ramai pelabur dan akhirnya rakyat dapat manfaat peluang pekerjaan serta pendapatan dapat dipertingkatkan," katanya dalam program Soal Rakyat terbitan TV3, di sini, semalam.

Mohamad berkata, Malaysia menjadi destinasi utama pelabur ketika BN memerintah, tetapi kini keadaan itu berubah disebabkan ketidakstabilan politik.

"Bukan saja pelabur luar, tetapi dalam Malaysia pun membawa pelaburan mereka keluar dari Malaysia kerana mereka lihat keadaan di sini tidak menentu dan beralih ke Indonesia, Vietnam dan Thailand yang lebih stabil.

"Sebelum ini, setiap tahun Johor menduduki tempat pertama dan kedua dalam rekod pelaburan terbanyak diterima serta pencapaian peratusan ekonomi, tetapi sekarang Johor turun di tangga keenam.

"Jadi, ini risikonya. Tiada orang siuman akan melabur di negara atau negeri yang tak stabil politiknya dan dalam keadaan ketidaktentuan," katanya.

Katanya, BN mengadakan PRN untuk menang sebelum menubuhkan kerajaan yang kuat untuk mentadbir urus Johor.

"Kami masuk (bertanding) pilihan raya bukan nak main-main, boleh jadi kami akan kalah atau menang, tetapi BN, Datuk Seri Hasni dan rakan-rakan mengambil risiko bubarkan Dun berbeza dengan mereka (pembangkang) bertanding untuk menidakkan BN menjadi kerajaan.

"Bayangkan kalau BN kalah nanti, lima parti akan bercampur sama-sama tubuh kerajaan Johor sudah jadi kerajaan keluarga 69 maka jawabnya setiap enam atau tujuh bulan tukar Menteri Besar, tetapi kalau orang Johor hendak begitu terpulanglah saya pun tak dapat hendak menegahnya.

"Jadi, nasihat saya kepada rakyat Johor terutama pengundi muda dan baharu fikir elok-elok dan buka minda jangan terpengaruh dengan isu dimainkan semasa pilihan raya kerana selepas ini mereka orang luar akan balik, tetapi orang Johor yang kena hadapi lagi lima tahun," katanya.

Mengenai pelbagai isu negatif dimainkan pembangkang ketika BN memerintah, Mohamad berkata, setiap parti seharusnya berpolitik secara matang bagi meraih perhatian pengundi.

"Memang jelas kelihatan di PRN Johor tidak seperti PRN Melaka, kurang sedikit, tetapi Johor ini nampaknya masing-masing sampai ke tahap hitting below the belt saya pun tak tahu apa sebab.

"Bagi saya politik kita sudah dewasa kerana lebih 60 tahun kita merdeka, jadi kita mesti berupaya meyakinkan pengundi kalau kita menang apa kita hendak buat dan ikhtiar kita untuk pastikan rakyat Johor ini hidup sejahtera lima tahun akan datang.

"Tetapi, nampaknya parti masing-masing terutama pihak lawan sampai hendak membunuh karakter ini, saya sendiri pun kurang senang sebab saya selalu berpesan jentera parti dan anak-anak buah saya kami turun Johor ini bukan menghina atau mencaci orang, tetapi kami hendak tagih simpati pengundi berikan kepercayaan kepada BN mendapat mandat selesa supaya dapat tadbir Johor.

"Tak apa mungkin itu cara dia (pihak lawan), tetapi tetapi BN akan teruskan cara kami menerangkan isu apa dan ikhtiar kami untuk mengubah keadaan sedia ada kepada yang lebih baik kami sajikan untuk rakyat Johor," katanya.

Sementara itu, katanya, keputusan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika negara masih dilanda Covid-19 bertujuan supaya ketidakstabilan perlu diperbetulkan.

"Apakah kita mahu berterusan membiarkan orang luar khususnya masyarakat antarabangsa mempersoalkan keabsahan kerajaan kita?

"Apakah kita mahu duduk diam sehingga Mei tahun depan sedangkan ekonomi selepas Covid-19 ini termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mula meningkat, jadi kita tak mahu ketinggalan sebab itu perlu perbetulkan keadaan kita bukan sebab kita terlalu yakin selepas kemenangan pilihan raya lalu.

"Biar orang marah saya (buat pilihan raya) tengah Covid-19 kerana hendak tunggu sampai bila? Tiada jaminan Covid-19 akan hilang pada Mei 2023.

"Selain itu, sebagai Pengarah Pilihan Raya BN, pandangan saya ini masa terbaik untuk kita membubarkan Parlimen kerana keadaan musuh yang tengah kelam-kabut.

"Jangan tunggu sampai musuh atau lawan kita bergabung semula mati kita, jadi jangan ulang kesilapan PRU-14," katanya.

Pengarah PRN Johor BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika rakaman Soal Rakyat di Studio TV3, Johor Bahru. FOTO MAHAIZURA A MALIK
Pengarah PRN Johor BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika rakaman Soal Rakyat di Studio TV3, Johor Bahru. FOTO MAHAIZURA A MALIK

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 7:01 AM