ROHAIMI (kanan) berbual dengan anggota yang menerima bantuan menerusi program Konvoi 'Charity Ride' PDRM Bersama Ipoh Super Bke Club (ISBC) Sempena Sambutan Hari Polis Ke-215. FOTO Zaid Salim
ROHAIMI (kanan) berbual dengan anggota yang menerima bantuan menerusi program Konvoi 'Charity Ride' PDRM Bersama Ipoh Super Bke Club (ISBC) Sempena Sambutan Hari Polis Ke-215. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim

Kuala Terengganu: Polis masih berusaha mengenal pasti identiti suspek yang terbabit dalam kejadian tembak di Kampung Pasir Tinggi, Hulu Terengganu dekat sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya akan berusaha mengesan identiti sebenar suspek menerusi nama panggilan dan karakter yang terdapat dalam rekod polis.

"Identiti suspek seperti nama panggilan dan karakter sudah ada dalam rekod polis dan kini, kami berusaha mendapatkan identiti penuhnya.

"Kami juga sudah memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan selain rakan mangsa iaitu saksi pertama kes berkenaan. Kami yakin dapat menahan suspek dalam masa terdekat," katanya.

Beliau ditemui pada program Konvoi 'Charity Ride' PDRM Bersama Ipoh Super Bike Club (ISBC) Sempena Sambutan Hari Polis Ke-215 di sini, hari ini.

Berkaitan motif kejadian, kata beliau, sehingga kini, ia masih lagi menjurus kepada aktiviti berkaitan dadah sama ada hutang atau sebagainya.

Pada kejadian Sabtu lalu, seorang lelaki berusia awal 40-an ditembak di tepi jalan di Kampung Pasir Tinggi, Hulu Terengganu sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Bukit Payung, Marang, jam 2.30 pagi.

Berdasarkan laporan bedah siasat, ada dua kesan tembakan masing-masing pada leher dan badan mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 3:13 PM