KEADAAN kenderaan terbabit kemalangan itu. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kenderaan terbabit kemalangan itu. FOTO Ihsan Bomba
Faris Fuad

Dua individu maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan pacuan empat roda di Jalan Besar Batu 30 Ulu Yam, dekat Kuala Kubu Bharu, pagi ini.

Pada kejadian 3.45 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Lai Wui Lun, 21 dan Chen Mun Li, 20.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, ketika kejadian Proton Saga BLM dinaiki lima orang.

Beliau berkata, ia berlanggar dengan Toyota Hilux.

“Anggota bomba bertugas mengeluarkan Wui Lun dan Mun Li menggunakan peralatan khas dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Tiga lagi yang cedera berjaya dikeluarkan orang awam.

"Dua orang dikenali sebagai Chang Thung Yuen, 22 dan Ong Hui Chen, 16, manakala seorang lagi kita masih mendapatkan maklumat dan profil penuhnya.

“Pemeriksaan dalam Toyota Hilux mendapati hanya ada seorang pemandu dan dia cedera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 8:48 AM