Foto hiasan
Foto hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis menahan dua lelaki dan merampas dua motosikal dipercayai dicuri dalam serbuan di sebuah rumah di Shah Alam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kedua-dua suspek berusia 35 tahun dipercayai terbabit dalam kes kecurian motosikal di Sungai Besi kelmarin.

"Bertindak atas maklumat dan laporan yang dibuat mangsa, pada 12.15 tengah malam sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menyerbu rumah berkenaan.

"Serbuan berjaya merampas dua motosikal jenis Yamaha, enjin motosikal dan dua rangka motosikal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Idzam berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kes kecurian motosikal di Sungai Besi itu.

"Semakan juga mendapati seorang daripada suspek itu memiliki satu rekod dikehendaki berkaitan kes dadah.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 12:05 PM