Sekumpulan lelaki dikesan polis selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal dengan mengerumuni rak mainan di sebuah pusat beli belah di Bukit Jalil, Cheras. FOTO IHSAN POLIS
Sekumpulan lelaki dikesan polis selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal dengan mengerumuni rak mainan di sebuah pusat beli belah di Bukit Jalil, Cheras. FOTO IHSAN POLIS
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sekumpulan lelaki didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal dengan mengerumuni rak mainan di sebuah pusat beli belah di Bukit Jalil, di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya terkesan satu gambar tular di media sosial mengenai kejadian itu pada 2.50 petang hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku dalam premis permainan kanak-kanak di pusat beli belah berkenaan, Jumaat lalu.

"Polis meneruskan siasatan untuk mengenal pasti individu yang terbabit pelanggaran SOP di premis berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.2) 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis tidak berkompromi sekiranya wujud pelanggaran SOP dan berterima kasih atas maklumat yang disalurkan bagi memastikan pematuhan SOP.

Muhammad Idzam meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 013-2165881 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 8:27 PM