Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sembilan individu ditahan termasuk dalang utama yang menggunakan gelaran Datuk Seri palsu selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan penipuan pelaburan saham tidak wujud dikenali sebagai Pelaburan Planetrade (Plan E Investment) pada 1 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya melancarkan satu operasi bagi mengesan dan menahan dalang serta individu yang terbabit kegiatan berkenaan dalam serbuan berasingan di sekitar ibu negara, Selangor dan Pulau Pinang.

"Hasil serbuan dilakukan, kami menahan sembilan individu tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan enam wanita berusia 41 hingga 62 tahun.

"Mereka yang ditahan termasuk seorang lelaki berusia 46 tahun yang juga dalang utama sindiket ini selain beberapa ejen serta individu yang terbabit mengendalikan syarikat milik lelaki berkenaan.

"Kami turut merampas enam kenderaan mewah, 13 telefon bimbit, tujuh kad ATM, satu pasport, dua komputer, dua komputer riba, tujuh set dokumen perjanjian dan beberapa barangan lain dalam serbuan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, dua individu termasuk dalang utama direman dua hari, manakala tujuh lagi individu direman dua hari bagi membantu siasatan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Kami turut membekukan 27 akaun bank berkaitan sindiket berkenaan membabitkan wang berjumlah lebih RM750,000 serta pemilikan saham dalang utama terbabit di empat syarikat.

"Selain siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, kami juga mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 serta Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959," katanya.

MOHD Kamarudin menunjukkan antara dokumen perjanjian skim pelaburan tidak wujud yang dirampas. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
MOHD Kamarudin menunjukkan antara dokumen perjanjian skim pelaburan tidak wujud yang dirampas. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati dalang utama berkenaan menggunakan gelaran Datuk Seri palsu bagi meyakinkan pelabur menyertai skim pelaburan terbabit.

"Hasil siasatan dilakukan pihak polis mendapati sindiket ini mula beroperasi sejak Januari tahun lalu dengan menawarkan pelaburan berasaskan pembelian saham keutamaan.

"Pelabur dijanjikan kadar keuntungan tetap sekitar empat hingga lima peratus sebulan dari modal dilaburkan selain diyakinkan wang pelaburan itu akan dilaburkan ke dalam pelbagai medium pelaburan patuh syariah di dalam dan luar negara.

"Bagaimanapun, semakan mendapati tiada bukti menunjukkan pihak terbabit ada membeli saham untuk pelaburan.

"Kami percaya wang terbabit digunakan untuk tujuan peribadi selain membayar dividen kepada pelabur di peringkat awal seperti skim piramid," katanya.

Katanya, pada peringkat awal, pelabur menerima keuntungan bulanan dijanjikan sebelum sindiket itu secara tiba-tiba memutuskan komunikasi dengan mangsa.

"Kami menerima 21 laporan membabitkan 12 laporan di Kuala Lumpur, Melaka (1), Kelantan (2), Selangor (5) dan Terengganu (1) berkaitan skim pelaburan ini dengan jumlah kerugian sebanyak RM3.32 juta.

"Hasil risikan dilakukan mendapati ada pelabur yang mencatatkan kerugian kira-kira RM4.6 juta, namun belum tampil membuat laporan polis," katanya.

GAMBAR kereta mewah yang dirampas dan suspek yang ditahan. FOTO Fathil Asri.
GAMBAR kereta mewah yang dirampas dan suspek yang ditahan. FOTO Fathil Asri.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan ajakan rakan untuk menyertai mana-mana skim pelaburan tanpa membuat sebarang semakan.

Katanya, ada dalam kalangan pelabur dalam kes ini pernah menjadi mangsa sebelum ini tetapi sanggup mengambil risiko untuk melabur semula.

"Ini kerana mereka percaya kepada testimoni disampaikan oleh rakan meskipun tiada pengesahan mengenainya.

"Harus diingat penyangak sentiasa berkeliaran dan mengambil kesempatan untuk menipu.

"Justeru itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tidak munasabah serta mencurigakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 1:28 PM