MOHD Nor Azlan melihat sebahagian itik yang diternak di belakang rumahnya di Kampung Ithnin Maarof, Simpang Renggam. FOTO Adnan Ibrahim
MOHD Nor Azlan melihat sebahagian itik yang diternak di belakang rumahnya di Kampung Ithnin Maarof, Simpang Renggam. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim

TINDAKAN seorang pemuda menukar kerjaya daripada kerja di pejabat berhawa dingin kepada kerja bergelumang lumpur dan berbau busuk berbaloi apabila ia berjaya memberikan pulangan lumayan.

Melalui kerjaya barunya itu, pemuda yang memiliki Diploma Keselamatan dan Kesihatan dari Institut Latihan Pembelajaran Ronaco (RETI) pada tahun 2016 kini mampu berdiri megah dengan pendapatan empat angka setiap bulan.

Mohd Nor Azlan Bachik, 29, berkata, melihat kepada kejayaan petani yang mengusahakan perusahaan menternak ayam kampung, burung puyuh selain mengusahakan telur itik membuatkan dirinya rasa tercabar selain merasakan mampu melakukan lebih daripada mereka.

Katanya, untuk tujuan itu, tanah seluas 1.2 hektar di kebun kelapa sawit milik ayahnya di Kampung Ithnin Maarof, Simpang Renggam, dekat sini, dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk melakukan perusahaan sama dengan bermula secara kecil-kecilan.

"Untuk ayam kampung dan burung puyuh saya bermula dengan kira-kira 500 ekor untuk sekali keluaran manakala, telur itik sekitar 200 biji sebulan.

"Namun, titik peluh yang dicurahkan selama ini akhirnya membuahkan hasil sehingga mampu mengeluarkan hingga 6,000 ekor burung puyuh serta 1,500 biji telur itik dalam tempoh sebulan," katanya.

SEBAHAGIAN ayam kampung yang diternak Mohd Nor Azlan. FOTO Adnan Ibrahim
SEBAHAGIAN ayam kampung yang diternak Mohd Nor Azlan. FOTO Adnan Ibrahim

Untuk ayam kampung, Mohd Nor Azlan berkata, hanya kira-kira 1,200 ekor berjaya dijual pada satu-satu masa kerana memerlukan masa untuk menternaknya namun, ia tetap berbaloi dan menghasilkan pulangan lumayan.

"Akibat keluasan tanah yang terhad, saya tidak mampu untuk memenuhi permintaan khususnya burung puyuh yang memerlukan sehingga 10,000 ekor selain telur itik sebanyak antara 2,000 hingga 3,000 biji sebulan.

"Saya amat berbangga kerana tindakan menukar kerjaya walaupun kotor dan busuk mampu memberikan satu pulangan yang selama ini tidak pernah terlintas dalam fikiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 5:02 PM