Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Seorang peniaga burung dan ayam kerugian RM10,000 susulan ternakannya mati kerana tidak sempat diselamatkan selepas kediaman dinaiki air separas tiga hingga empat meter (m) secara mendadak, baru-baru ini.

Mohd Hirwan Rajiuon, 39, reda dengan ujian berkenaan apabila 50 burung serta 50 ayam miliknya yang menjadi korban banjir.

Ia terpaksa ditanam bagi mengelak bau busuk.

Katanya, jumlah kerugian itu termasuk dengan kos baja dan peralatan ternakan yang terdapat di kedainya, yang mana ditenggelami air dan tidak dapat diselamatkan.

"Kawasan rumah saya memang setiap tahun dinaiki air, namun banjir kali ini tidak dijangka menjadi seburuk ini, sehinggakan saya tidak sempat menyelamatkan burung serta ayam yang ada di kedai.

"Kedai saya hanya di hadapan rumah sahaja, tetapi berdekatan dengan jalan utama yang tinggi, namun banjir kali ini menyebabkan air menenggelami jalan sehingga paras 0.5 m sekali gus turut memasuki bahagian kedai.

"Saya reda dengan kerugian ini walaupun masih terkejut dan menganggap sudah tiada rezeki saya," katanya yang juga bapa kepada empat cahaya mata berusia antara tiga hingga 11 tahun.

Antara spesies burung yang dijualnya seperti Candik, Merbok, Serindit, Aji-aji dan Merpati, manakala ayam pula jenis organik dan Serama.

MOHD HIRWAN melihat saki-baki burung yang terselamat daripada banjir. FOTO Syaherah Mustafa
MOHD HIRWAN melihat saki-baki burung yang terselamat daripada banjir. FOTO Syaherah Mustafa

Mohd Hirwan berkata, kediamannya mula dinaiki air pada 17 Disember lalu dan mengambil masa lebih seminggu untuk surut, menyebabkan dia sekeluarga terpaksa menumpang di rumah saudara di Pasir Mas.

"Air naik dengan mendadak menyebabkan saya tidak sempat menyelamatkan ternakan yang ada di kedai, hanya memastikan isteri dan anak-anak serta ibu yang sudah uzur dipindahkan ke tempat selamat.

"Kereta saya juga hampir ditenggelami banjir tetapi sempat menggunakan khidmat penarik kereta untuk dibawa ke tempat yang bebas banjir.

"Sejujurnya, sepanjang lebih seminggu banjir melanda, hati saya tidak senang memikirkan burung dan ayam yang kesejukan di kedai selain dapat mengagak bahawa akan ada yang mati," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tersang, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 8:39 AM