GAMBAR HIASAN. FOTO DANIAL SAAD
GAMBAR HIASAN. FOTO DANIAL SAAD
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah mencatat kadar jangkitan tinggi Covid-19 secara sporadik atau jangkitan dikesan melalui saringan bergejala dengan lebih 71 peratus daripada 2,717 kes baharu dilaporkan, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, sebanyak 1,934 kes atau 71.18 peratus daripada jangkitan baharu hari ini dikenal pasti sebagai kes sporadik iaitu kes bergejala yang tidak diketahui punca.

Katanya, peratusan kes sporadik itu yang tertinggi dicatat di Sabah setakat ini, diikuti kes dikesan melalui saringan kontak rapat seramai 458 orang atau 16.86 peratus daripada jumlah kes hari ini.

"Sebanyak 23 daripada 27 daerah di Sabah memperlihatkan situasi sama apabila kes sporadik yang terbanyak di daerah terbabit pada hari ini.

"Atas sebab inilah kita selalu mengingatkan rakyat agar mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa sebagai benteng perlindungan daripada ancaman jangkitan virus itu," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan, kes baharu di Sabah meningkat semula dengan agak banyak hari ini iaitu bertambah 481 kes kepada 2,717 kes berbanding 2,236 kes dilaporkan, semalam.

Menurutnya, bagaimanapun, 99 peratus atau 2,690 daripada 2,717 kes baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, diikuti empat kes dalam Kategori 3, manakala 17 kes dalam Kategori 4 dan enam kes lagi dalam Kategori 5.

Katanya, tujuh kes kematian dilaporkan hari ini iaitu masing-masing dua kes di Kota Belud dan Tenom manakala satu kes di Kota Kinabalu, Kinabatangan dan Sipitang, berbanding sebanyak 24 kes kematian dilaporkan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 8:54 PM