Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah merekodkan kes baharu Covid-19 tertinggi yang pernah dicapai sejak pandemik bermula dua tahun lalu, dengan 3,333 kes.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah itu meningkat 1,264 kes berbanding 2,069 yang direkodkan semalam.

Katanya, 3,318 kes atau 99.55 peratus membabitkan pesakit Kategori 1 dan Kategori 2, manakala enam kes dalam Kategori 3 dan Kategori 4, serta tiga kes dalam Kategori 5.

"Secara keseluruhan semua 27 daerah di Sabah mencatat jangkitan baharu hari ini dengan 10 daripadanya merekod kes tiga angka.

"Kota Kinabalu mencatat jumlah tertinggi dengan 591 kes, diikuti Sandakan (510 kes), Penampang (324 kes), Tuaran (266 kes), Papar (224 kes), Ranau (196 kes), Tawau (191 kes), Lahad Datu (169 kes), Beaufort (116 kes) dan Kota Marudu (102 kes).

"Tiada daerah yang sifar kes hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Masidi berkata, terdapat beberapa daerah mencatat pertambahan kes sehingga dua kali ganda, malah ada yang meningkat hingga empat kali ganda berbanding semalam.

"Jumlah kes melalui saringan bergejala yang sinonim dengan jangkitan sporadik juga amat tinggi, iaitu 1,724 kes atau hampir 52 peratus, manakala 185 kes baharu berpunca daripada 30 kluster yang masih aktif termasuk 22 kluster pendidikan.

"Hari ini, tiga lagi kluster pendidikan baharu dikesan di Beluran, Keningau dan Kinabatangan yang menyumbang 75 kes," katanya.

Kluster itu adalah Kluster Simpangan Paitan di Beluran; Kluster Access Menawo, Keningau dan Kluster Bukit Garam, Kinabatangan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 5:42 PM