Mohamad Zulhairie Manzaidi


KETIKA kelam kabut membuat persiapan berpindah akibat banjir, Nurul Hidayah Mohamad, 29, diuji dengan kematian seorang ahli keluarganya, hari ini.

Neneknya, Bidah Isa, 95, yang terlantar sakit tua meninggal dunia pada 5 pagi tadi di rumah mereka di Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat.

Urusan memandikan dan mengkafankan jenazah dilakukan di rumah, namun bagi menyempurnakan sembahyang jenazah dan pengebumian, mereka terpaksa menggunakan khidmat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) disebabkan kawasan ditenggelami banjir.

Nurul Hidayah berkata, neneknya sudah 22 tahun terlantar dan keadaannya semakin tenat sejak dua minggu lalu.

"Arwah memang tidak sihat, keadaannya pun lain sikit dalam dua minggu ini. Malam tadi, ketika menjaganya, saya tengok dia sudah lain dan beritahu ahli keluarga.

"Ketika kami sedang bersiap-siap untuk berpindah, arwah menghembuskan nafas terakhir. Hanya Allah saja yang tahu perasaan kami ketika itu apatah lagi dalam situasi banjir begini.

"Di luar (pekarangan rumah) air semakin naik, di dalam rumah pula kami berendam air mata menangisi pemergiannya," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Tanjung, Pengkalan Kubor, Tumpat, hari ini.

Menurutnya, dia tidak tahu apa yang harus dilakukan untuk urusan pengebumian arwah sehinggalah sepupunya, Awang Ismail, 54, menghubungi APM Kelantan untuk meminta bantuan.

"Alhamdulillah, urusan pengebumian berjalan dengan lancar dan jenazah selamat dikebumikan pada 2.30 petang tadi selepas disembahyangkan di Masjid Pengkalan Kubur.

"Sebelum itu, jenazah dibawa dari rumah dengan menaiki bot sejauh satu kilometer sebelum dipindahkan ke dalam trak untuk ke tanah perkuburan," katanya.

Dalam pada itu, Awang berkata, persekitaran rumah mereka sudah dinaiki air awal pagi tadi dan dia bersama lapan lagi ahli keluarga lain sedang bersiap untuk berpindah.

"Selepas dikejutkan dengan pemergian nenek, persiapan kami tergendala seketika dan mengutamakan urusan pengebumian jenazah arwah terlebih dulu.

"Terima kasih kepada APM kerana sanggup meredah banjir membantu kami sekeluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 4:01 PM