LIMA ketulan mampat ganja dan wang tunai yang dirampas polis di Jalan Jalan Genting Highlands. FOTO Ihsan Polis.
LIMA ketulan mampat ganja dan wang tunai yang dirampas polis di Jalan Jalan Genting Highlands. FOTO Ihsan Polis.
Raja Noraina Raja Rahim

Bentong: Seorang lelaki bakal ke tali gantung apabila ditahan bersama ganja bernilai lebih RM12,000 dalam sekatan jalan raya di Kilometer 17 Jalan Genting Highlands menghala Kuala Lumpur di sini, semalam.

Dalam Op Tapis pada 5.30 petang itu, lelaki berusia 31 tahun dilihat memandu Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, anggota bertugas menahan kenderaan lelaki itu dan menemui sebuah kotak di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

"Pemeriksaan lanjut dalam kotak itu menemui lima ketulan mampat dibaluti pembungkus warna emas dan plastik lutsinar dengan setiap satunya mengandungi dadah disyaki ganja.

"Dadah dianggarkan seberat 5,127.42 gram bernilai RM12,500 itu kemudian dirampas dan suspek ditahan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaiham berkata, dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu menampung bekalan kepada kira-kira 5,127 orang penagih.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek pula didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan kini direman tujuh hari sehingga 8 Mac.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati dan Seksyen 15(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun serta perintah pengawasan sehingga tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 12:05 AM