GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seorang wanita warga asing ditemukan maut di dalam bilik air sebuah hotel di sebuah pusat peranginan di Bentong, Pahang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, polis menerima laporan kejadian itu pada 4.36 pagi daripada pihak pengurusan hotel selepas dimaklumkan oleh rakan wanita itu.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi dan menemui mayat wanita berusia 32 tahun itu tergantung pada seluar yang diikat di besi dalam bilik air berkenaan.

"Semakan mendapati wanita itu datang ke Malaysia pada awal tahun ini dan menginap di hotel berkenaan.

"Pada hari kejadian dia bersama rakan sedang berbual sebelum dia tiba-tiba bergegas masuk ke bilik air dan mengunci pintu.

"Rakan cuba membuka pintu tapi gagal lalu meminta bantuan pihak pengurusan hotel. Pihak pengurusan kemudian melaporkan kejadian kepada polis," katanya dalam kenyataan malam ini.

Zaiham berkata, siasatan awal oleh forensik di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah dan mayat dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta tampil menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 12:39 AM