AHMAD Zahid menyampaikan Sumbangan peruntukan kepada Pusat Dalam Komuniti Wilayah KEJORA. FOTO Nur Aisyah Mazalan
AHMAD Zahid menyampaikan Sumbangan peruntukan kepada Pusat Dalam Komuniti Wilayah KEJORA. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Kluang: Sektor pertanian negara diminta melaksanakan peningkatan gaji minimum bagi menarik pekerja tempatan bekerja sekali gus mengelakkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia juga menjadi hasrat kerajaan mengurangkan jumlah pekerja asing di negara ini termasuk dalam sektor 3D, iaitu kotor (dirty), bahaya (danger) dan sukar (difficulty) dalam jangka panjang.

Katanya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri ( KDN) juga telah diarah untuk memantau isu berkenaan.

"Mesyuarat Kabinet sebelum ini juga ada membincangkan isu (kebergantungan terhadap pekerja asing) dan menjadi pertimbangan kerajaan mahu utamakan tenaga kerja tempatan.

"Namun sektor 3D ini, kurang diminati oleh pekerja-pekerja tempatan kerana gaji rendah yang ditawarkan.

"Oleh itu, bagi tempoh jangka masa panjang, kerajaan berhasrat mahu mengurangkan pekerja asing termasuk dalam sektor 3D, tetapi perlu lakukan tawaran gaji yang minimum supaya tidak berlaku kekurangan bekalan sayur-sayuran begitu juga dalam sektor pembinaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan 1445H di Perkarangan Masjid Jamek Layang-Layang, Simpang Renggam, di sini, hari ini.

Semalam, BH melaporkan pengeluaran hasil sayuran negara dijangka akan terjejas dan merosot sehingga 40 peratus mulai bulan depan, menyebabkan harganya melambung, susulan krisis tenaga kerja kritikal.

Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, dilaporkan berkata ia berikutan pengumuman kerajaan membatalkan kuota pekerja asing yang tidak digunakan sebelum 31 Mac ini.

Senario itu akan menyebabkan harga sayuran di pasaran akan meningkat mendadak disebabkan bekalan sayuran berkurangan dengan hasil sayuran tidak dapat dikeluarkan seperti biasa, susulan kekurangan tenaga kerja kritikal.

Harga sayuran dijangka melonjak sehingga 25 peratus susulan isu kekurangan tenaga buruh kritikal yang akan dihadapi sektor pertanian negara, mulai bulan hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 9:16 PM