KAMPUNG Taman Seri Melor, Kota Bharu dilanda banjir  akibat air hujan lebat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KAMPUNG Taman Seri Melor, Kota Bharu dilanda banjir akibat air hujan lebat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Maiamalina Mohamed Amin


JUMLAH mangsa banjir di Kelantan yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 1,384 orang, setakat 12 tengah malam.

Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 272 orang berbanding 1,112 orang pada 9 malam.

Empat PPS baharu dibuka bermula 9 malam tadi di Pasir Mas menjadikan jumlah terkini PPS di daerah itu sembilan pusat.

Kota Bharu masih mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 567 orang daripada 141 keluarga di lima PPS, diikuti Pasir Mas dengan 275 mangsa membabitkan 79 keluarga.

Turut mencatat peningkatan adalah mangsa di Tanah Merah dengan 143 orang (37 keluarga) di lima PPS, sementara Pasir Puteh merekodkan 258 orang (81 keluarga) di tiga PPS.

Portal eBanjir Kelantan juga merekodkan 88 mangsa (27 keluarga) menghuni dua PPS di Machang, manakala masing-masing satu PPS dibuka di Kuala Krai dan Bachok.

Kuala Krai mempunyai 88 mangsa dan Bachok 44 orang babitkan 11 keluarga.

Sementara itu, paras Sungai Golok di Rantau Panjanh sudah mencecah 9.79 meter berbanding 9.68 meter, tiga jam yang lalu.

Empat sungai utama lain berada di paras berjaga-jaga iaitu Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Tangga Krai, Sungai Galas di Dabong dan Sungai Golok di Jenob.

Enam jalan ditutup masing-masing tiga di Machang dan tiga di Pasir Mas.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 12:53 AM