Calon Pejuang N47 Kempas, Nornekman Osman. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Calon Pejuang N47 Kempas, Nornekman Osman. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Berdepan saingan tujuh penjuru, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas dari Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang juga anak bekas Menteri Besar Johor tidak gentar meneruskan perjuangannya.

Nornekman Osman berkata, kelebihan yang ada pada dirinya dapat menyakini pengundi untuk memilihnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

"Saya pun dahulu pernah bersama UMNO, kemudian ditambah dengan arwah bapa (Allahyarham Datuk Osman Sapian) yang beberapa penggal menjadi wakil rakyat di kawasan ini.

"Yang paling penting parti yang saya wakili di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad yang kita tahu seorang pemimpin yang berwawasan tinggi.

"Ketika bapa masih ada dia mengetahui saya di Pejuang dan dia merestui keputusan saya," katanya.

Timbalan Ketua Pejuang negeri Johor itu berkata, segala nasihat daripada arwah ayahnya serta darah politik yang mengalir dalam badannya turut menjadi kelebihan kepada beliau menawan DUN Kempas.

"Arwah ayah selalu menasihatkan saya supaya menimba pengalaman secukupnya dan sebelum ini saya pernah bertugas di Kedah, kemudian ke kementerian.

"Darah yang mengalir dalam tubuh ini adalah darah dia dan ditambah pengalaman saya berkhidmat sebelum ini dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi nilai tambah," katanya yang menghormati semua calon yang bertanding di DUN Kempas.

Katanya, beliau akan teruskan perjuangan dan dalam masa sama mengambil apa sahaja keluhan, pandangan serta masalah yang ada di akar umbi.

Nornekman berdepan enam calon lain di DUN Kempas iaitu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ramlee Bohani; Ketua Wanita PKR Johor daripada Pakatan Harapan (PH), Napsiah Khamis Maharan dan calon Perikatan Nasional (PN), Nur Faizal Abdullah.

Tiga calon Bebas juga turut bertanding di DUN Kempas iaitu Mohd Azwan Abd Rahman, Hambali Munadi dan Mohd Suhimi A Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 3:45 PM