GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Johor Bahru: Anak sulung bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian mungkin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Nornekman, 47, yang juga Timbalan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor berkata, meskipun bertanding atas tiket parti politik yang berbeza dengan ayahnya, namun itu bukan penghalang baginya meneruskan legasi arwah bapanya bagi menabur bakti kepada masyarakat.

"Saya memang bersedia untuk bertanding dan jika boleh, mahu menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas kerana penduduk di situ amat dekat di hati kami sekeluarga, termasuk saya sendiri sepanjang tiga penggal arwah menjadi wakil rakyat di situ.

"Bagaimanapun saya tetap akan akur dengan sebarang keputusan kepimpinan parti melibatkan soal pencalonan dalam PRN Johor," katanya di pejabat Pejuang Johor di sini hari ini.

Osman bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam, meninggal dunia di rumah anaknya di Kuala Lumpur pada 21 Disember 2021.

Mengulas mengenai Johor sebagai medan pertama Pejuang bertanding, Nornekman berkata parti itu mahu menghadiahkan kemenangan PRN Johor kepada Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad selain berharap kesihatan pengasas parti itu beransur baik sekali gus membolehkan beliau turun membantu jentera di PRN Johor.

"Bagaimanapun, apa yang lebih utama adalah beliau menjaga kesihatan diri ketika ini. Jika beliau tidak dapat turun secara fizikal sekalipun, beliau masih boleh membantu kempen melalui pelbagai platform lain, termasuklah menggunakan media sosial," katanya.

Semalam, anak sulung bekas perdana menteri itu, Datin Paduka Marina dilaporkan berkata keadaan kesihatan Dr Mahathir semakin pulih dan telah dipindahkan dari Unit Rawatan Koronari ke wad biasa Institut Jantung Negara (IJN).

Sementara itu, Nornekman berkata Pejuang Johor akan memastikan calon yang dipilih untuk bertanding dalam PRN itu tidak melakukan kecuaian yang boleh menjejaskan kempen parti, khususnya ketika hari proses penamaan calon.

"Sebagai langkah persediaan Biro Peguam parti, akan memberi latihan kepada semua pihak terbabit kerana setiap kali pilihan raya, kita akan dengar berita kecuaian seperti calon salah isi borang, tertinggal kad pengenalan dan sebagainya, jadi Pejuang akan pastikan perkara seperti ini tidak berlaku," katanya.

Sabtu lalu, Ketua Pejuang Johor Datuk Dr Saharuddin Mohd Salleh dilaporkan berkata parti itu akan bertanding secara sendirian dengan meletakkan 42 calon pada PRN Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 12:30 PM