Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Banjir di Kelantan makin buruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 3,546 mangsa pagi ini, berbanding 2,044 orang petang semalam.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 8.15 pagi ini, kesemua mangsa membabitkan 1,157 lelaki dewasa, 1,128 wanita dewasa, 605 kanak-kanak lelaki, 568 kanak-kanak perempuan dan 88 bayi.

Kesemua mangsa daripada 1,125 keluarga itu ditempatkan di 33 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah iaitu Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli, Pasir Puteh dan Pasir Mas.

Pasir Mas menyaksikan peningkatan mangsa banjir mendadak berikutan hujan lebat berterusan dengan 2,455 mangsa banjir berpindah ke 10 PPS.

Kuala Krai pula merekodkan 451 mangsa banjir yang ditempatkan di sembilan PPS, diikuti Tanah Merah mencatatkan 341 mangsa di sembilan PPS.

Jeli mencatatkan 268 mangsa yang ditempatkan di empat PPS dan Pasir Puteh merekodkan 31 mangsa di satu PPS.

Sementara itu, mengikut portal eBanjir Kelantan, sebanyak tiga jalan yang ditutup di Tanah Merah iaitu Jalan Panglima Bayu- Rantau Panjang, Jalan Ke Loji Membersih Air Bukit Remah yang ditutup kepada semua kenderaan dan Jalan Tanah Merah- Kusial- Kampung Ipoh yang ditutup kepada kenderaan ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 9:00 AM
Penduduk melihat kediaman mereka dinaiki air separas 0.5m sehingga 0.8m di Taman Desa Wira Jaya, di Pasir Mas, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Penduduk melihat kediaman mereka dinaiki air separas 0.5m sehingga 0.8m di Taman Desa Wira Jaya, di Pasir Mas, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA