Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang mengingatkan penduduk setempat supaya tidak mengganggu buaya yang ditemui di parit besar dekat Sungai Isap Jaya di sini.

Pengarahnya, Rozidan Md Yasin berkata, kemungkinan buaya terbabit masuk ke dalam parit besar berkenaan ketika air pasang sebelum ditemui penduduk di kawasan berkenaan.

Menurutnya, parit besar berkenaan bersambung dengan Sungai Belat yang terkenal dengan habitat reptilia terbabit.

Katanya, apabila air pasang paras air parit meningkat dan mampu menarik perhatian buaya untuk berada di situ.

"Pegawai PERHILITAN daerah sudah meninjau tempat berkenaan hari ini untuk melihat buaya yang didakwa berada di situ sebelum sebarang tindakan dibuat dalam masa terdekat.

"Buaya memang ada di Sungai Pahang, ini bererti semua anak sungainya boleh dimasuki reptilia berkenaan.

"Nasihat saya kepada penduduk setempat supaya tidak cuba menghampiri parit besar terbabit selain tidak menganggu buaya," katanya dihubungi, di sini hari ini.

Kelmarin, viral video seekor buaya dipercayai spesies tembaga ditemui penduduk dalam parit besar dekat Sungai Isap Jaya, penduduk bimbang kejadian tidak diingini berlaku dan berharap pihak bertanggungjawab segera mengambil tindakan.

Buaya yang ditemui dalam parit besar di Sungai Isap Jaya dekat Kuantan. Foto Ihsan Pembaca
Buaya yang ditemui dalam parit besar di Sungai Isap Jaya dekat Kuantan. Foto Ihsan Pembaca

Rozidan berkata, pihaknya memasang papan tanda amaran buaya di beberapa lokasi sepanjang Sungai Belat dalam memastikan penduduk setempat dan pemancing berhati-hati dan tidak berada di kawasan terbabit.

Katanya, tindakan akan dilakukan selepas mendapat laporan daripada pegawai yang meninjau lokasi tempat buaya berkenaan ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 12:45 PM