GAMBAR fail, Muhyiddin. FOTO NSTP
GAMBAR fail, Muhyiddin. FOTO NSTP
Ahmad Suhael Adnan


Jasin: Kementerian Kesihatan (KKM) digesa memberi kelonggaran kepada calon dan parti politik berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selama beberapa hari supaya mereka boleh memperkenalkan diri kepada pengundi.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan ketika ini terlalu ketat dan menimbulkan persoalan memandangkan aktiviti sosial yang tidak berkaitan pilihan raya dibenarkan.

Katanya, beliau memahami keperluan pelaksanaan SOP tertentu sepanjang PRN berlangsung, namun ia tidak sewajarnya terlalu ketat hingga menghalang amalan demokrasi berjalan.

"Dalam PRN ini langsung tak boleh bergerak, bagaimana nak perkenalkan calon. Pergi ke kedai makan boleh, tapi nak berucap tak boleh.

"Kegiatan sosial yang lain boleh, politik tak boleh pula. Covid-19 tak kenal politik atau sosial. Covid-19 tak kata, kita tak nak jangkit yang ini, tapi jangkit yang sana.

"Pokoknya penjagaan SOP dan saya harap ada sedikit kelonggaran untuk beberapa hari, di samping teruskan pantau keadaan dan kalau diizinkan, berilah sedikit ruang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesahkan, Bilik Gerakan PN di Dewan Undangan Negeri (Dun) Telok Mas diarah tutup selama 14 hari selepas berlaku kes positif Covid-19.

Mengakui penutupan itu memberi sedikit kesan pada pergerakan jentera di Dun terbabit, beliau tetap memuji langkah itu kerana ia dapat memutuskan sebarang kemungkinan rantaian jangkitan wabak berkenaan.

"Mungkin kita boleh cari dan ganti bilik gerakan yang lain, namun harap ia tidak ditutup sepanjang tempoh PRN Melaka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 8:35 PM