Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan memperkenalkan 42 calonnya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dua hari sebelum hari penamaan calon pada 26 Februari nanti.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, langkah itu bagi membolehkan semua 42 calon Pejuang memperkenalkan diri secara rasmi kepada pengundi.

"Senarai 42 calon Pejuang sedang dimuktamadkan ketika ini dengan acara memperkenalkan semua mereka akan dibuat dua hari sebelum penamaan calon.

"Pejuang akan menampilkan calon bersih, cekap dan amanah, malah semua 42 calon kami akan menjalani ujian psikometrik bagi menunjukkan kesungguhan untuk menampilkan calon terbaik dan berintegriti.

"Pada acara pengenalan calon barulah semuanya akan didedahkan termasuk peratusan calon muda, lelaki dan wanita," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Parti Pejuang di Taman Universiti, Skudai, malam ini.

MUKHRIZ (tengah) pada sidang media di Johor Bahru, malam ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
MUKHRIZ (tengah) pada sidang media di Johor Bahru, malam ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Hadir sama, Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya dan Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr Saharuddin Mohd Salleh.

Kelmarin, Pejuang mengumumkan untuk bertanding solo menggunakan logo parti itu selain mahu bertanding 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Johor.

Dalam pada itu, Mukhriz tidak menolak kemungkinan akan menampilkan wajah Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam bahan kempen termasuk poster pada PRN Johor.

"Tun M tak bertanding di Johor, namun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) benarkan gambar pemimpin parti ditampilkan dalam poster dan bahan kempen.

"Tun M masih disayangi rakyat, tak salah imej beliau dipaparkan dalam kempen PRN Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 11:50 PM