Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Polis menumpaskan sindiket pengedaran rokok seludup yang aktif di sekitar utara dan tengah Semenanjung Malaysia hasil serbuan di dua gudang di Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini, dengan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM14.17 juta.

Serbuan itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan pasukan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas (PGK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman pada 5 dan 6 pagi semalam menerusi Op Kontraban.

Pengarah Jabatan KDNKA Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, polis turut menahan lima lelaki warga tempatan yang dipercayai anggota ahli sindiket berkenaan berusia 36 hingga 63 tahun untuk tindakan lanjut.

"Melalui pemeriksaan ke atas dua gudang itu, polis menemui stor penyimpanan yang didalamnya terdapat 18.49 juta batang rokok dianggarkan bernilai hampir RM13.87 juta yang dipercayai tidak membayar cukai kastam.

"Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,200, empat lori dan dua kereta dengan nilai keseluruhan rampasan hampir RM14.17 juta.

"Siasatan awal juga mendapati ia bukan sindiket yang baru dalam pengedaran rokok seludup," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abdul Manan dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor.

Difahamkan, sindiket pengedaran rokok itu cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan mengisytiharkan sebagai syarikat barangan runcit apabila terdapat surat kebenaran oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam lori yang dirampas.

Bagaimanapun, menurut Zainal Abidin, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui bagaimana cara sindiket beroperasi dan negara mana rokok itu diperoleh.

Katanya, polis percaya lima individu yang ditahan juga hanya 'sub' kepada kegiatan itu dan kini dalam usaha untuk mengesan dalang atau ketua kumpulannya.

"Melalui semakan didapati kelima-lima yang ditahan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kita percaya ada ketua sindiket di sebalik kegiatan ini dan berusaha untuk mengesannya," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim (kanan) ketika sidang Op Kontraban menumpaskan sindiket pengedaran rokok dipercayai tanpa bayar cukai Kastam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) di sini. Polis melakukan serbuan di dua buah gudang di Tasek Gelugor, menahan lima lelaki berusia antara 36 hingga 63 tahun serta merampas lebih 18 juta batang rokok putih tidak bercukai dianggarkan bernilai RM13,867,500. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 1:59 PM