Azmin Ali pada Majlis Penyerahan Skim Bersama SIRIM @ Anak Bapak Maju Enterprise, di Taman Muhibah Saleng, di Kulai Johor. FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT
Azmin Ali pada Majlis Penyerahan Skim Bersama SIRIM @ Anak Bapak Maju Enterprise, di Taman Muhibah Saleng, di Kulai Johor. FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT
Mohamad Fahd Rahmat

Kulai: Kerajaan mengambil langkah proaktif bagi memastikan ekonomi negara dapat dipulihkan sekali gus mengelakkan daripada berlaku kelembapan aktiviti ekonomi susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu termasuk pembukaan sempadan negara dalam masa yang terdekat.

Katanya, melalui Majlis Pemulihan Negara (MPN) beberapa langkah yang proaktif diperkenalkan untuk memastikan aktiviti ekonomi negara dapat dipulihkan.

"Pembukaan sempadan membolehkan rantaian bekalan dan rantaian nilai global ini tidak terganggu kerana Malaysia antara negara yang aktif dalam rantaian bekalan global," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Skim Bersama SIRIM @ Anak Bapak Maju Enterprise di Taman Muhibah Saleng di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi dan Pengurus Besar Kanan Pemasaran Kumpulan dan Pejabat Wilayah Perancangan Strategik Kumpulan SIRIM, Abdul Ghani Abdul Rahman.

Mohamed Azmin berkata, banyak kejayaan dicapai melalui pengalaman mengendalikan wabak Covid-19 dalam tempoh dua tahun ini.

Katanya, dunia mengiktiraf bahawa Malaysia antara negara yang terbaik dalam menjayakan program vaksinisasi.

Mohamed Azmin berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa memantau situasi semasa dengan peningkatan kes Omicron dalam negara.

"Namun kita yakin pengalaman selama dua tahun ini , kita dapat menangani penularan ini dengan lebih efektif dan kita lihat sistem kesihatan awam negara terkawal.

"Penggunaan katil di ICU (unit rawatan rapi) amat rendah berbanding dengan apa yang berlaku dua tahun lalu.

"Ini membuktikan bahawa program vaksinisasi yang dilancarkan pada Februari 2021 memberikan kesan yang positif," katanya.

Beliau berkata, dengan pengambilan dos penggalak hari ini, kerajaan yakin penularan varian Omicron dapat dikawal dengan lebih berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 3:20 PM