KERAJAAN bercadang meningkatkan kuota harian pengembara warga Malaysia dan Singapura menerusi kemudahan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi Laluan Darat (VTL-Darat). FOTO BERNAMA
KERAJAAN bercadang meningkatkan kuota harian pengembara warga Malaysia dan Singapura menerusi kemudahan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi Laluan Darat (VTL-Darat). FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan bercadang meningkatkan kuota harian pengembara warga Malaysia dan Singapura menerusi kemudahan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi Laluan Darat (VTL-Darat) kepada 2,100 orang sehala mengikut perkembangan situasi wabak Covid-19.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, setakat ini, tempoh kuarantin tidak dikenakan terhadap pengembara ekoran kadar vaksinasi yang tinggi di kedua-dua negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan sentiasa memantau situasi kesihatan semasa dan sekiranya terdapat sebarang indikasi berkaitan Covid-19, Kementerian Kesihatan akan memberi nasihat yang sewajarnya.

"Sebab itu kita membuka sempadan ini secara berhati-hati dan tidak secara mendadak, serta jumlah kuota harian ketika ini masih ditetapkan 1,440 orang untuk satu hala dan pada 20 Disember ini, sekiranya situasi membenarkan, kita akan naikkan kepada 2,100 orang pengembara setiap hari, satu hala.

"Ini membuktikan bahawa kita masih lagi memantau situasi kesihatan semasa supaya pembukaan sempadan ini tidak akan membebankan mana-mana pihak dari segi kesihatan," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Mohamed Azmin menjawab soalan tambahan Senator Datuk Jefridin Atan mengenai sama ada kerajaan bercadang mempertimbang tempoh kuarantin bagi pengguna kemudahan VTL sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kemasukan varian Omicron ke Malaysia.

Pada 14 Disember lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kenyataan memaklumkan semua kategori pengembara warga Malaysia dan Singapura boleh memasuki kedua-dua negara menggunakan kemudahan VTL-Darat berkuat kuasa 20 Disember ini berikutan peningkatan permintaan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 1:03 PM