MOHAMED Azmin mempengerusikan mesyuarat Menteri Bertanggungjawab Perdagangan (MRT) APEC pertama secara maya.
MOHAMED Azmin mempengerusikan mesyuarat Menteri Bertanggungjawab Perdagangan (MRT) APEC pertama secara maya.
Suliati Asri


MALAYSIA mengetuai kepimpinan bagi memastikan perbincangan antara menteri perdagangan negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengenai pemulihan ekonomi berterusan.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Menteri Bertanggungjawab Perdagangan (MRT) APEC menegaskan kembali komitmen mereka untuk mengurangkan kesan ekonomi dari pandemik Covid-19 secara efektif dan segera mengemudi wilayah terbabit menuju ke arah pemulihan ekonomi yang berdaya tahan, lestari, inklusif dan dipercepat.

Katanya, ini termasuk pentingnya persekitaran perdagangan dan pelaburan yang bebas, terbuka, adil, tidak diskriminasi, telus dan dapat diramal.

"Bagi mendorong pemulihan ekonomi pada masa yang mencabar ini, kami mengakui kepentingan persekitaran perdagangan dan pelaburan yang bebas, terbuka, adil, tidak diskriminasi, telus dan boleh dijangka.

"Kami akan memerhatikan program dan inisiatif kerja utama APEC yang menyokong kerja Organisasi Perdagangan Dunia (WTO).

"Kami juga menegaskan pentingnya peraturan telus dan tidak diskriminatif, yang disepakati dalam WTO, yang meningkatkan ramalan pasaran dan memungkinkan keyakinan perniagaan serta membenarkan pengaliran perdagangan," katanya dalam ucapannya ketika mempengerusikan mesyuarat Menteri Bertanggungjawab Perdagangan (MRT) APEC pertama secara maya, semalam.

Mesyuarat yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selaku Sekretariat Nasional APEC 2020 itu turut melakar sejarah tersendiri buat Malaysia yang mana menganjurkan perjumpaan MRT APEC secara maya.

MALAYSIA melakar sejarah menganjurkan mesyuarat MRT APEC pertama secara maya.
MALAYSIA melakar sejarah menganjurkan mesyuarat MRT APEC pertama secara maya.

Mesyuarat yang berlangsung selama lima jam itu juga diwakili 21 anggota APEC.

Mohamed Azmin berkata, menyedari peranan WTO itu, MRT APEC bersetuju bahawa tindakan perlu untuk meningkatkan fungsinya dan menyokong pembaharuan WTO yang diperlukan.

"Kami komited memastikan bahawa langkah kecemasan yang dirancang untuk mengatasi Covid-19 bersasar, telus, sementara, tidak menimbulkan halangan yang tidak perlu untuk perdagangan atau gangguan pada rantaian bekalan global dan konsisten dengan peraturan WTO," katanya.

Selain itu, MRT APEC juga menggalakkan ekonomi untuk berkolaborasi dan mengamalkan penyelesaian digital yang akan memperkuat daya tahan rantaian bekalan serta memungkinkan perniagaan rentas sempadan, termasuk melalui e-dagang.

"Dalam memanfaatkan peluang ekonomi digital, kami mengakui pentingnya kerjasama dalam memudahkan aliran data dan memperkukuh kepercayaan pengguna dan perniagaan dalam transaksi digital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 11:15 AM