Rakaman yang tular memaparkan kejadian cubaan culik kanak-kanak di sebuah pusat jagaan. FOTO Ihsan Pembaca
Rakaman yang tular memaparkan kejadian cubaan culik kanak-kanak di sebuah pusat jagaan. FOTO Ihsan Pembaca
Oleh Ahmad Hasbi


Seremban: Polis Negeri Sembilan tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian cubaan menculik kanak-kanak di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Muhammad Izzudin Runggai berkata, pihaknya menafikan kejadian itu ekoran tular satu rakaman video yang dimuat naik laman Facebook menggunakan nama 'Negeri Sembilan'.

"Kami sudah membuat semakan dan mendapati tiada apa-apa laporan kejadian seumpama itu berlaku di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.

"Jadi, kami percaya kejadian yang tular itu, jika ada, bukan berlaku di negeri ini," katanya dihubungi hari ini.

Sejak semalam, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian cubaan culik oleh dua lelaki bertopi keledar dan membonceng sebuah motosikal.

Menerusi video berdurasi tiga minit itu, seorang daripada lelaki terbabit berpura-pura bertanyakan arah manakala seorang lagi menunggu di motosikal sambil memerhatikan sekeliling.

Ia sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada kes itu memang benar-benar berlaku di negeri ini atau lokasi lain memandangkan tiada lokasi disertakan.

Justeru, Muhammad Izzudin menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memuatnaik hantaran di laman sosial terutamanya yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

"Orang ramai dinasihati membuat laporan terus kepada polis jika mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 12:18 PM