Nor Azizah Mokhtar


POLIS mengesahkan menerima laporan cubaan culik seorang kanak-kanak berhampiran sebuah sekolah rendah di Bandar Baru Bangi, namun sebuah video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, hari ini tiada kaitan dengan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang wanita mendakwa anaknya cuba dilarikan sekumpulan lelaki di luar kawasan sekolah, semalam.

“Wanita itu mendakwa ketika kejadian, anaknya berusia 11 tahun bersama dua lagi rakan berada di luar pagar sekolah didatangi tiga lelaki menaiki sebuah kereta menawarkan gula-gula kepada mereka.

“Kanak-kanak terbabit dikatakan berjaya melepaskan diri walaupun cuba dikejar oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, sejurus menerima laporan itu, pihaknya terus melakukan siasatan di lokasi termasuk mengambil keterangan beberapa saksi bebas.

“Bagaimanapun, saksi mendakwa mereka tidak mengetahui tentang kejadian itu.

“Siasatan turut mendapati tiada sebarang CCTV berada di lokasi yang didakwa berlaku cubaan culik itu,” katanya.

Katanya, polis turut melakukan semakan ke atas video rakaman CCTV yang tular di media sosial yang dikaitkan dengan kejadian itu.

“Kita mendapati ia bukan rakaman di sekitar kawasan yang dilaporkan kerana tiada CCTV di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, kita amat peka dengan laporan polis yang diterima itu serta maklumat yang disalurkan orang awam, dan kita mengambil tindakan proaktif meningkatkan rondaan di sekitar kawasan sekolah terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, penularan video berdurasi 21 saat itu dikesan berlaku sejak awal pagi hari ini dengan keterangan video mengaitkan ia dengan kejadian cubaan culik yang berlaku ke atas kanak-kanak terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 8:02 PM
PETIKAN rakaman CCTV mengaitkan kejadian culik seorang kanak-kanak di Bandar Baru Bangi yang tular, hari ini.
PETIKAN rakaman CCTV mengaitkan kejadian culik seorang kanak-kanak di Bandar Baru Bangi yang tular, hari ini.