Gambar guru wanita yang dicederakan penjenayah. FOTO Ihsan Pembaca
Gambar guru wanita yang dicederakan penjenayah. FOTO Ihsan Pembaca
Izlaily Nurul Ain Hussein


GURU wanita cedera dada, perut dan tangan apabila diserang menggunakan senjata tajam dalam cubaan samun di parkir hadapan sebuah pasar raya di Batu Pahat malam semalam.

Dalam kejadian 8 malam itu, wanita berusia 57 tahun terbabit dikatakan mahu menaiki keretanya sebelum didatangi lelaki tidak dikenali.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Muhammad Izzudin Runggai berkata, suspek kemudian cuba meragut beg mangsa tetapi mangsa enggan melepaskan beg berkenaan.

“Akibatnya, suspek bertindak mencederakan mangsa menggunakan senjata tajam dan mangsa cedera dada, perut dan tangan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, pihaknya kini berusaha mengesan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera ketika melakukan samun.

“Setakat ini belum ada tangkapan dan kita meminta orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat salurkan kepada polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial dipercayai oleh orang ramai yang berada di lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 12:26 AM