SEORANG remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman atas tuduhan membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya pada 8 Februari lalu. FOTO Arkib NSTP
SEORANG remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman atas tuduhan membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya pada 8 Februari lalu. FOTO Arkib NSTP
Zanariah Abd Mutalib

Kuala Lumpur: Pertuduhan terhadap seorang remaja perempuan atas kesalahan membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya di Mahkamah Majistret Kemaman, semalam perlu disemak semula.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata, pihaknya amat terkejut apabila remaja bawah umur itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, gadis yang menjadi mangsa jenayah rogol sembilan bulan lalu kini menjadi mangsa ketidakadilan.

"Lelaki atau perempuan yang terselamat daripada keganasan seksual mungkin berdepan kesan mental, tingkah laku dan sosial.

"Manakala kanak-kanak perempuan serta wanita akan menanggung lebih banyak beban akibat kesan reproduktif, selain trauma dan risiko mendapat jangkitan seksual.

"Jika dia (tertuduh) sudah tertekan ketika kehamilan yang tidak diingininya, maka risiko untuk mengalami kemurungan selepas bersalin pastinya lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Koh berkata, pihaknya hairan mengapa gadis yang terselamat daripada rogol itu tidak diberikan sokongan psikologi yang sewajarnya sepanjang kehamilan.

"Apakah ketakutan dan tekanan yang dialami gadis ini sepanjang kehamilannya sehingga menyebabkan dia membunuh bayi itu pada hari dilahirkan?

"Kita pernah melihat kes di mana perogol sering kali dibenarkan bebas akibat kekurangan bukti atau tiada laporan dibuat kerana stigma sosial yang berakhir dengan wanita yang terselamat daripada rogol itu dibiarkan menghadapi semua ini sendirian.

"Terdapat keperluan yang pasti untuk menyemak semula keputusan mahkamah dalam kes ini," katanya.

Katamya, mangsa rogol yang terselamat mungkin mula menunjukkan tingkah laku yang berisiko tinggi.

"Selain trauma akibat rogol, mangsa terpaksa menanggung beban kerana mengandung dan berdepan pandangan masyarakat yang menambah kesengsaraannya.

"Ia meningkatkan risiko bukan saja mendapat penyakit mental tetapi juga mendorongnya ke arah tingkah laku yang tidak wajar seperti pembunuhan bayi," katanya.

Semalam, seorang remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman atas tuduhan membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya pada 8 Februari lalu.

Remaja berusia 15 tahun itu didakwa dengan sengaja membunuh bayi terbabit di sebuah rumah dekat Seri Bandi, Kemaman antara 7 pagi hingga 9 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 4:50 PM