ROKOK tidak bercukai yang dirampas PGA Semenyih dalam dua tangkapan berasingan di sekitar Pandamaran Klang. FOTO Ihsan PGA Semenyih
ROKOK tidak bercukai yang dirampas PGA Semenyih dalam dua tangkapan berasingan di sekitar Pandamaran Klang. FOTO Ihsan PGA Semenyih
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih berjaya mematahkan sindiket pengedaran rokok seludup dengan penahanan dua lelaki di sekitar Pandamaran, Klang, awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Superintendan Rizal Mohamed berkata, kedua-dua lelaki yang juga warga tempatan berusia 27 tahun serta warga Bangladesh yang juga pemastautin tetap berusia 49 tahun ditahan dalam dua tangkapan berasingan pada jam 3 pagi.

Katanya, turut dirampas bersama suspek adalah 590 karton rokok tidak bercukai.

"Tangkapan pertama membabitkan rampasan sejumlah 160 karton rokok yang disembunyikan dalam sebuah kenderaan di Jalan Dato' Harun, Sungai Kembong, Pulau Indah, Klang.

"Siasatan lanjut kemudian membawa pasukan ke sebuah rumah di Taman Pandamaran Permai, Klang yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan rokok seludup.

"Hasil serbuan, kita berjaya merampas 430 karton rokok tidak bercukai," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas dua kenderaan dan dua telefon bimbit.

Katanya, anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah kira-kira RM155,135.60.

"Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Balai Polis Pandamaran untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 8:03 PM