SALEHIN (tengah) menunjukkan hasil rampasan rokok seludup dalam serbuan di sebuah rumah banglo di kebun Kampung Teratai, Bukit Serampang, Tangkak. FOTO Ahmad Ismail
SALEHIN (tengah) menunjukkan hasil rampasan rokok seludup dalam serbuan di sebuah rumah banglo di kebun Kampung Teratai, Bukit Serampang, Tangkak. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail

Tangkak: Jadikan sebuah banglo di kawasan kebun sebagai lokasi menyembunyikan bekalan rokok seludup.

Taktik digunakan seorang lelaki tempatan sejak kira-kira tiga bulan lalu itu bagaimanapun dihidu anggota Cawangan Risik Briged Tengah Polis Gerakan Am (PGA) Cheras dan Batalion 6 PGA Muar Isnin lalu.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 6, Deputi Superintendan Salehin Suleiman berkata, sebanyak 163,200 kotak rokok disyaki tidak bercukai berjaya dirampas di sebuah rumah banglo sunyi.

Menurutnya, serbuan dilakukan sekumpulan pegawai dan anggota PGA di kediaman terletak di Kampung Teratai, Bukit Serampang, di sini, pada jam 3.30 petang.

"Hasil serbuan itu, kami berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang berada di dalam kediaman berkenaan. Turut ditemui 13,600 karton rokok dan sebuah lori tiga tan serta dua van.

"Keseluruhan nilai rampasan itu dianggarkan berjumlah RM3.4 juta," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, di sini, tadi.

Menurut Salehin, hasil soal siasat mendapati suspek berperanan sebagai orang tengah dan penghantar rokok seludup itu.

"Suspek mengakui sering menyasarkan lokasi dalam kebun untuk menyimpan bekalan rokok seludup. Selepas bekalan habis diedarkan, suspek akan mencari lokasi baharu di kebun berbeza.

"Lelaki yang turut mempunyai rekod lampau berkaitan narkotik ini kini direman selama 14 hari mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967," katanya.

Pihaknya kini sedang mengesan saki baki suspek termasuk pemilik banglo bagi membantu siasatan terutama usaha menjejaki dalang sindiket itu.

"Sejak Januari hingga semalam, Batalion 6 PGA berjaya melancarkan 15 serbuan membabitkan Op Kontraban di sekitar Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

"Seramai 34 individu berjaya ditahan dan nilai rampasan rokok berjumlah RM7 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 4:58 PM