Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Pelekat VVIP dan kelab berkaitan anggota beruniform ditampal pada kenderaan semata-mata untuk menjamin 'kekebalan' daripada dikesan ketika mengedar dadah.

Bagaimanapun taktik dua beradik itu tidak ke mana apabila kegiatan mereka yang turut memproses dadah sendiri berjaya dijejaki polis, sebelum rumah sewa di Kampar yang dijadikan makmal diserbu, kelmarin.

Serbuan itu oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada 4 petang, dengan polis turut menemukan dadah bernilai RM665,782.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dua suspek masing-masing berusia 44 dan 45 tahun itu ditahan bersama 40.1 kilogram (kg) heroin (RM602,025); 11.05kg kafien (RM3,757) dan cecair disyaki dadah dianggarkan seberat 4kg bernilai RM60,000.

Katanya, selain dadah, turut dirampas bahan kimia serta peralatan digunakan bagi memproses dadah.

MOHD Yusri (tengah) mengumumkan tangkapan dua beradik dan rampasan dadah lebih setengah juta, hari ini. FOTO L Manimaran.
MOHD Yusri (tengah) mengumumkan tangkapan dua beradik dan rampasan dadah lebih setengah juta, hari ini. FOTO L Manimaran.

"Ujian saringan air kencing kedua-dua suspek yang juga penganggur positif morfin, namun mereka tiada rekod kesalahan lampau.

"Sindiket dua beradik ini dipercayai aktif sejak sebulan lalu dengan dadah yang dirampas adalah untuk edaran pasaran tempatan dan boleh menampung permintaan hingga 85,000 penagih.

"Siasatan masih dijalankan kerana kita percaya bukan hanya dua beradik ini sahaja yang terbabit. Kita akan kesan lagi rakan sejenayah yang masih bebas," katanya pada sidang media di IPK Perak di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata, penggunaan pelekat pada kenderaan amalan biasa buat sindiket sedemikian, kononnya untuk terhindar daripada diambil sebarang tindakan.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita kenderaan digunakan dianggarkan RM50,000, dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan harta sitaan RM715,782.

"Suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga Isnin untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 2:56 PM