Mohammad Asyraf Khalib

MISI pengembaraan 204 artifak Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) dari Kuala Lumpur ke Tokyo National Museum disiarkan secara eksklusif di TV3 bermula semalam.

 Tayangan eksklusif itu memaparkan keseluruhan proses memindahkan 204 artifak di MKIM yang dipinjamkan selama lapan bulan kepada Tokyo National Museum.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata TV3 berbesar hati apabila diberi penghormatan menjadi sebahagian pasukan penting dalam misi pengembaraan kali ini.

"Proses pengendalian dan pemindahan 204 artifak itu menonjolkan kredibiliti dan kepakaran pasukan MKIM dalam memelihara dan memulihara peninggalan sejarah dunia. 

"Justeru, penting untuk kami berkongsi kapsul masa ini kerana ia adalah pencapaian besar rakyat Malaysia dalam proses konservasi artifak yang dipamerkan di mata dunia."

Menurut Pengarah Muzium Kesenian Islam Malaysia, Syed Mohamad Albukhary, MKIM berkongsi lebih daripada 200 artifak dalam koleksi penting kepada komuniti di Tokyo National Museum. 

"Kami berharap pameran ini akan membuka perspektif baharu masyarakat Jepun terhadap dunia Islam dengan mengetengahkan kebudayaan dan kesenian bermula daripada awal abad kemunculan Islam sehingga kini."

Image

Majalah 3 Istimewa: Kapsul Masa: Misi Ke Tokyo Bahagian 1 yang disiarkan di TV3 semalam, merungkai mengenai proses persiapan teknikal di sebalik tabir, restorasi, preservasi dan konservasi. 

Proses itu diteliti oleh lima konservator berpengalaman khusus dalam bidang seramik, manuskrip, tekstil, logam serta lukisan. 

Majalah 3 Istimewa: Kapsul Masa: Misi Ke Tokyo Bahagian 2 pula memberi tumpuan kepada fasa seterusnya apabila setiap 204 artifak yang lengkap menjalani proses konservasi, dirapikan dalam peti khas untuk diterbangkan dalam tempoh tiga minggu. 

Lebih mencabar, pengembaraan kali ini terpaksa dilakukan tanpa penyeliaan dan pengendalian oleh pasukan MKIM sendiri kerana kes Covid-19 mencatat angka tinggi di Malaysia dan Jepun. 

Ia menjadikan misi ini adalah misi pertama dalam sejarah MKIM, dua pemasang tidak dapat meneruskan perjalanan bersama artifak kendalian mereka.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Majalah 3 Istimewa: Kapsul Masa: Misi ke Tokyo, Bahagian 2, malam ini tepat jam 9.00 malam di TV3.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my atau ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 4:23 PM