AMINUDDIN (tengah) di hadapan pusat penjaja R&R Tampin. Foto ihsan Pejabat MB.
AMINUDDIN (tengah) di hadapan pusat penjaja R&R Tampin. Foto ihsan Pejabat MB.
Mohd Amin Jalil


Tampin: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan diminta mengenal pasti lokasi yang sesuai bagi dijadikan pusat penjaja bagi menempatkan penjaja dan peniaga kecil menjalankan aktiviti perniagaan.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, menjadi hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan lebih banyak pusat penjaja di setiap daerah di negeri itu dalam usaha membantu penjaja kecil menambah pendapatan dan mengembangkan ekonomi.

"Kerajaan negeri komited memastikan nasib penjaja kecil terus mendapat perhatian. Setakat ini kita sudah menyediakan pusat penjaja yang strategik, kondusif, selesa dan bersih di setiap daerah.

"Namun kita berharap dapat menambah lebih banyak pusat penjaja untuk golongan ini dan PBT diminta mengenal pasti lokasi yang bersesuaian di kawasan masing-masing," katanya selepas merasmikan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Taman Indah di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihata, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan dan Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin, Zahari Md Afandi.

R&R itu mempunyai 10 gerai yang menyediakan lokasi yang lebih selesa dan bersih untuk penjaja dan pembeli berurusan.

Aminuddin berkata, lebih banyak pusat seperti itu akan dibuka di negeri ini bagi menyediakan situasi menang-menang buat penjaja dan pelanggan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 12:09 PM