DOKTOR kontrak kini boleh hela nafas lega.
DOKTOR kontrak kini boleh hela nafas lega.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyambut baik pengumuman kerajaan untuk mewujudkan 8,686 perjawatan tetap tambahan membabitkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang tempoh 2022 sehingga 2025.

Presiden MMA Dr Koh Kah Chai berkata, pengumuman kerajaan itu memang sudah lama ditunggu.

Kata beliau, langkah awal memberi 3,586 jawatan tetap untuk pegawai perubatan tahun ini dan menawarkan jawatan itu secara berkala setiap tahun melegakan doktor kontrak.

Menurut Dr Koh, jawatan tetap berkenaan mungkin masih tidak mencukupi malah sebilangan doktor kontrak perlu menunggu lama untuk diserap sebagai doktor tetap.

"MMA berharap, lebih banyak jawatan itu dibuka setiap tahun supaya isu itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Keperluan penjagaan kesihatan rakyat semakin meningkat. Oleh itu, penambahbaikan kepada nisbah doktor kepada pesakit dan peningkatan penjagaan pakar amat diperlukan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap lebih banyak jawatan doktor pakar akan ditambah bagi mencapai sasaran negara mempunyai lebih daripada 18,000 doktor pakar menjelang 2025.

Sementara itu, bekas Presiden MMA Datuk Dr Ng Baskaran berkata, ketika ini, lebih 23,000 pegawai perubatan menunggu tawaran tetap yang mana pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan KKM sejak 2016.

"Kami berterima kasih kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang baru mengambil alih jawatan ini namun memahami masalah itu dan sudah mula menyelesaikan isu tawaran jawatan tetap kepada pegawai perubatan.

"Tidak lupa juga, terima kasih kepada pegawai di KKM yang membantu menyelesaikan isu ini. Ini permulaan yang baik dan saya ucapkan tahniah namun ia tidak boleh berhenti di sini dan mesti diteruskan apabila kerajaan mempunyai kewangan yang mencukupi kerana soal kesihatan sangat penting," katanya.

Terdahulu, 8,686 perjawatan tetap tambahan membabitkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi akan diwujudkan di KKM sepanjang 2022 sehingga 2025.

Khairy Jamaluddin dipetik berkata, daripada jumlah itu, 4,186 jawatan tetap tambahan akan diwujudkan di KKM pada tahun ini membabitkan 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

Kata Khairy Jamaluddin, sekurang-kurangnya, 1,500 lagi jawatan tetap diberikan setiap tahun mulai tahun depan sehingga 2025 serta 800 jawatan tetap untuk pakar perubatan setiap tahun bermula 2023.

Untuk rekod, 1,118 pegawai perubatan, 1,019 pegawai pergigian dan 1,288 pegawai farmasi dilantik secara tetap sepanjang 2016 hingga tahun lalu.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pegawai perubatan kontrak ditawarkan jawatan tetap yang sebelum ini sudah lama tertangguh.

Pengumuman Ismail Sabri itu untuk memberi jawatan tetap kepada pegawai perubatan menunjukkan kesungguhan beliau dalam merealisasikan inisiatif Keluarga Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 7:01 AM