NOH pada Majlis Pelancaran Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi Di Malaysia. FOTO Aswadi Alias
NOH pada Majlis Pelancaran Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi Di Malaysia. FOTO Aswadi Alias
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tan Sri Noh Omar membidas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memetik kluster mahkamah sebagai modal politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Noh yang juga Pengerusi BN Selangor berkata, pilihan raya itu tidak ada kaitan dengan kluster mahkamah.

Sebaliknya beliau berkata, keadaan politik Johor itu sudah memang tidak stabil apabila kerajaan negeri dibentuk dengan kelebihan satu kerusi saja.

"Nak kata kluster mahkamah, kes ini berjalan di mahkamah. bukannya ada kacau campur tangan pihak politik.

"Dia nak tuduh apa? Kalau misal kata Datuk Seri Najib (Datuk Seri Najib Razak) atau Datuk Seri Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) ke nak turun berkempen, apa salahnya?

"Semua orang boleh turun berkempen. Ke sebab takut kut? Apabila Datuk Seri Najib turun macam kat Melaka (PRN Melaka) dulu, lebih tinggi pula orang nak sokong Umno," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan pada sidang media selepas merasmikan majlis pra-pelancaran Sambutan 100 Tahun Koperasi, di sini, hari ini

Muhyiddin dalam hantaran di Facebook (FB) semalam, dipetik berkata, hanya satu cara untuk mengalahkan kluster mahkamah iaitu dengan memastikan BN kalah dalam PRN Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.

Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) berkuat kuasa pada 22 Januari lalu bagi memberi laluan kepada PRN, diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 3:29 PM