Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Kerajaan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memuktamadkan selain mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) terbaik untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SPR sebagai badan bebas berhak menentukan SOP berkenaan tanpa sebarang campur tangan kerajaan.

"Kita tunggu pengumuman SPR berhubung SOP PRN Johor. SPR adalah badan bebas dan kerajaan sendiri tidak boleh campur dalam penentuan butiran PRN termasuk SOP.

"Namun saya pasti sebelum SOP PRN Johor diumumkan, SPR sudah pasti akan mendapatkan nasihat dan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM). Jadi kita tunggu pengumuman SPR," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Hari ini, Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dilaporkan berkata, tiada kempen bersemuka antara SOP yang boleh diteruskan sepanjang tempoh berkempen pada PRN Johor.

Beliau dilaporkan berkata, ia boleh mengelak daripada berlakunya perkumpulan ramai yang merisikokan masyarakat.

Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media selepas Program Karnival Usahawan dan Koperasi Malaysia di Dewan Serbaguna, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Gelang Patah. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media selepas Program Karnival Usahawan dan Koperasi Malaysia di Dewan Serbaguna, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Gelang Patah. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 7:10 PM