Suzalina Halid


Muar: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengakui belum membuat keputusan berhubung calon Menteri Besar Johor walaupun ura-ura menyebut Datuk Dr Shahruddin Md Salleh bakal mengisi jawatan itu sekiranya parti terbabit memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, keputusan mengenainya belum dimuktamadkan pucuk pimpinan dan pihaknya sudah ada beberapa senarai nama selain Ketua Pejuang Johor itu.

"Buat masa sekarang, kita belum membuat pengumuman berhubung perkara itu...belum diputuskan lagi namun adalah beberapa nama.

"Apa yang penting kita tubuhkan kerajaan dulu, lantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bagi memastikan pentadbiran dapat berjalan," katanya kepada pemberita selepas program Sarapan Bersama Rakyat di Simpang Jeram, di sini, hari ini.

Secara tradisinya, mana-mana ketua parti negeri akan dilantik sebagai menteri besar sekiranya mana-mana parti memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) sesebuah negeri.

Shahruddin yang bakal bertanding di Dun Machap adalah antara 42 calon Pejuang diketengahkan dalam PRN Johor.

Pada masa sama, Mukhriz berkata, sebagai parti yang julung kalinya terbabit dalam pilihan raya, pihaknya mengakui mengambil pengajaran daripada kesilapan Pakatan Harapan (PH) di PRN Melaka yang hanya menumpukan kepada seorang sahaja calon sehingga 'meminggirkan' calon lain.

Katanya, bagi Pejuang, mereka mahu parti itu menang secara berpasukan apabila semua calon khususnya yang sudah mempunyai 'nama' turut membantu rakan calon lain.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Datuk Seri Mukhriz Mahathir. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 3:55 PM