Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih menunggu perkembangan siasatan kes empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut dalam kejadian tembak di Kem TUDM di Kota Samarahan, Sarawak.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, kes itu masih dalam siasatan polis dan pihaknya sedang menunggu laporan penuh.

"Perkara ini masih lagi dalam siasatan pihak polis.

"Jadi kita tidak boleh ulas lagi buat masa ini sehingga kertas siasatan polis dilengkapkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penyerahan Kotak Makanan Program Bantu-Bantu Malaysia kepada Kementerian Pertahanan Sempena Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM di sebuah hotel di Seri Kembangan, di sini, hari ini.

Harian Metro 13 Ogos lalu melaporkan empat anggota TUDM maut dalam kejadian tembak di Kem TUDM, Kota Samarahan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail dilaporkan berkata, kejadian berlaku jam 7.50 pagi di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM

Sehubungan itu, TUDM akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian tembak yang mengakibatkan empat anggotanya maut di kem di Kota Samarahan di sini, pagi tadi.

PENGASAS The Mines Resort and Country Heights Holding, Tan Sri Lee Kim Yew (kiri) beramah mesra dengan Affendi (kanan sekali) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Sri Muez Abd Aziz (dua dari kiri) dan Panglima Angkatan Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain (dua dari kanan) ketika penyerahan kotak makanan. FOTO Amirudin Sahib

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 1:09 PM