Nor Fazlina Abdul Rahim


Rantau Panjang: Taktik licik sindiket penyeludupan membawa 20 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar menggunakan bas persiaran, gagal apabila dicekup pihak berkuasa di Tanah Merah, tengah malam kelmarin.

Semua Pati berusia antara 15 hingga 30 tahun itu ditahan pada 12.30 tengah malam oleh sepasukan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) selepas mengejar sejauh 30 kilometer.

Turut ditahan dua lelaki tempatan termasuk pemandu bas berusia 30-an yang dipercayai tekong darat.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Mannadzar Nasib berkata, pihaknya mula mengesan bas persiaran dan kereta jenis BMW yang disyaki tonto di Pohon Tanjung, di sini serta bertindak mengekori mereka.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, bas dan kereta terbabit memecut dengan laju.

"Ketika tiba di Jalan Baroh Pial menghala Tanah Merah, kereta BMW itu berhenti dan apabila anggota keluar untuk pemeriksaan, pemandunya cuba melanggar anggota menyebabkan kita terpaksa melepaskan dua das tembakan.

ANTARA Pati yang dibawa menaiki bas persiaran selepas memasuki negara menerusi pangkalan haram. FOTO Ihsan PGA9.
ANTARA Pati yang dibawa menaiki bas persiaran selepas memasuki negara menerusi pangkalan haram. FOTO Ihsan PGA9.

"Namun, pemandu kereta terbabit terus memecut sebelum kenderaannya terbabas dan dia melarikan diri, manakala bas yang dinaiki Pati berjaya dipintas di hadapan sebuah pasar raya di Tanah Merah.

"Hasil pemeriksaan dalam bas mendapati terdapat 20 warga Myanmar termasuk seorang wanita. Kita turut menahan pemandu bas dan seorang lagi lelaki yang kedua-duanya dipercayai tekong," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mannadzar berkata, pihaknya percaya sindiket itu menyewa khas bas berkenaan untuk membawa Pati terbabit ke Kuala Lumpur, dengan Pati itu didapati masuk ke Malaysia menggunakan pengkalan haram di Pohon Tanjung.

"Taktik sindiket menggunakan bas persiaran dari pangkalan haram adalah modus operandi baharu bagi mengaburi pihak berkuasa, berbanding sebelum ini kebanyakan mereka menggunakan kenderaan biasa.

"Kesemua Pati berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, manakala tekong terbabit disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007," katanya.

Beliau berkata, bas yang dirampas diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 12:42 PM