GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Rohana Idris


Tanah Merah: Tiga tekong darat melarikan diri dan meninggalkan 16 pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam kenderaan sebaik laluan mereka dihalang pihak berkuasa di jalan Kampung Nibong, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, dalam kejadian 10.30 malam itu, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan melihat tiga kenderaan mencurigakan di Kampung Nibong.

"Sepasukan anggota Balai Polis Nibong segera ke lokasi dan sebaik tiba di simpang tiga Kampung Nibong, kelihatan sebuah Proton Persona dan dua Proton Waja.

"Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, tiga kenderaan yang dipandu tiga individu cuba berpatah balik namun polis menghalang laluan mereka di hadapan simpang. Tiga pemandu itu kemudian bertindak melarikan diri ke arah semak berhampiran Pangkalan Haram Macang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Wan Zulfikri berkata, pemeriksaan dalam tiga kenderaan mendapati 16 warga Kemboja termasuk tiga kanak-kanak yang berusia antara 10 hingga 45 tahun.

Menurutnya, hasil siasatan kesemua Pati itu akan dihantar untuk bekerja di Kulai, Johor.

"Tiga kereta dan Pati dibawa ke Balai Polis Nibong untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Kami akan terus mempertingkatkan risikan dan maklumat serta memperketatkan kawalan di kawasan sempadan antarabangsa bagi mengekang kemasukan pendatang asing secara tidak sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 6:07 PM