Mas Ermieyati (tengah), Norashikin dan Khalid meneliti sebahagian daripada 100 kucing di pelihara di pusat perlindungan haiwan STAR di Kampung Paku, Alor Gajah hari ini. FOTO HASSAN OMAR
Mas Ermieyati (tengah), Norashikin dan Khalid meneliti sebahagian daripada 100 kucing di pelihara di pusat perlindungan haiwan STAR di Kampung Paku, Alor Gajah hari ini. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar

Alor Gajah: "Saya sedekahkan pahala menyelamatkan haiwan terbuang dan memeliharanya hingga sihat kepada roh arwah ayah, Allahyarham Ahmad Saad.

"Semasa hayat arwah masih ada, kami dididik supaya sentiasa menyayangi haiwan dan mencuba menyelamatkannya daripada terbiar sakit atau mati," kata Norashikin Ahmad, 29.

Pemilik Pasukan Penyelamat Haiwan Shikin (STAR) itu berkata, walaupun bapanya sudah tiada sejak 2012, dia dan sukarelawan, termasuk doktor haiwan berusaha menyelamatkan haiwan seperti kucing, anjing dan kuda.

Katanya, naluri ingin membantu sesama makhluk ciptaan Allah SWT mendorong dia dan anggota pasukan berkenaan bertungkus-lumus menyelamatkan haiwan itu daripada terbiar begitu sahaja di tepi jalan, pasar dan seumpamanya.

"Semasa arwah ayah masih ada, arwah selalu menyelamatkan kucing, anjing dan monyet yang ditimpa kemalangan.

"Sekarang setiap kali saya memandu kereta, kadang kala saya terasa seolah-olah ada mata sedang memerhatikan saya dan apabila saya berpatah balik, memang betul ada kucing di tepi jalan meminta ihsan kami," katanya pada program vaksinasi 30 kucing dan 30 anjing di STAR, Kampung Paku, di sini, tadi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid.

Norashikin berkata, dia memulakan aktiviti menyelamat dan memelihara 15 kucing pada 2014 selepas menyaksikan petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) menangkap kucing jalanan.

Bermula dari detik itulah, dia menambah jenis haiwan yang diberikan perlindungan, iaitu anjing, kuda dan biri-biri.

Katanya, dia amat menyanjung keprihatinan anggota masyarakat untuk menjadi sukarelawan bagi membantu memelihara 100 kucing dan 60 anjing, dua kuda dan dua biri-biri yang dikutip dari pelbagai lokasi.

"Semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) 1.0 dan 2.0, ramai pemilik kucing tidak mampu mengeluarkan kos pemeliharaan kucing dan terpaksa menyerahkannya kepada kami," katanya.

Bagaimanapun, sekarang semakin ramai anggota komuniti hadir di pusat perlindungan itu untuk mendapatkan kucing dan mereka hanya diberikan kucing selepas menjalani sesi temu duga bagi

memastikan mereka mampu memeliharanya dengan sempurna.

Sehubungan itu, dia meminta lebih ramai anggota komuniti atau syarikat menghulurkan sumbangan kewangan bagi membantu memperkukuh dana pusat perlindungan itu bagi penjagaan lebih banyak haiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 5:44 PM