BEKAS ADUN Rembia, Datuk Wira Hamdin Abdollah. FOTO Amir Mamat
BEKAS ADUN Rembia, Datuk Wira Hamdin Abdollah. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Datuk Hamdin Abdollah, meninggal dunia, hari ini selepas mengalami penyakit jantung, paru-paru dan buah pinggang sejak beberapa tahun lalu.

Hamdin, 73, yang juga bekas EXCO negeri menghembuskan nafas terakhir di Hospital Melaka pada 3 petang.

Hamdin dipilih sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1995 dan 1999 sebelum berpindah ke DUN Durian Tunggal pada 2004.

Allahyarham pernah menjadi EXCO Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri serta EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri.

Bekas Ketua Umno Bahagian Alor Gajah itu pernah dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Melaka.

Jenazah akan dibawa ke kediamannya di Seri Bayu, Alor Gajah sebelum dikebumikan malam ini.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Wira Noraini Saleh, tiga anak dan 10 cucu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 8:02 PM