Mohd Ridzuan Ab Ghapar
Mohd Ridzuan Ab Ghapar
BERNAMA

Bukit Mertajam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang merampas 4,012 helai pelbagai pakaian berjenama terkenal tiruan bernilai RM55,120 dalam serbuan di sebuah premis di Bandar Perai Jaya di sini, semalam.

Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, serbuan dibuat hasil aduan daripada syarikat jenama terkenal berkenaan dan pemeriksaan di premis perniagaan itu pada 11.30 pagi mendapati premis itu dijadikan stor menyimpan semua pakaian.

"Pemeriksaan itu dijalankan selepas kami menjalankan risikan sejak seminggu lalu dan ketika serbuan dijalankan terdapat dua lelaki warga asing berusia 30-an berada di premis itu dengan pelbagai pakaian yang menggunakan cap dagangan berdaftar yang disyaki palsu.

"Dalam serbuan itu kami merampas 4,012 helai kemeja-T dan seluar trek pelbagai jenama tiruan. Siasatan lanjut dijalankan untuk mengesan pemilik premis dan pakaian berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati mereka menjual pakaian berkenaan di sekitar negeri ini secara dalam talian dan borong dengan penjual dipercayai mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan hasil kegiatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 2:25 PM