FOTO hiasan
FOTO hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang menyiasat laporan berhubung kematian mengejut seorang lelaki warga asing yang juga Orang Kena Tahan (OKT) di Hospital Kajang di sini, hari ini.

Pengarah JIPS Datuk Azri Ahmad berkata, lelaki warganegara Myanmar itu dihantar ke hospital berkenaan Isnin lalu sekitar 8.10 pagi selepas mengadu tidak sihat dan ditahan di wad bagi menerima rawatan rapi.

"Hari ini pihak hospital memaklumkan bahawa OKT meninggal dunia dan punca kematian masih belum diketahui," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, katanya pada 5.30 petang 30 Januari lalu, seorang lelaki tempatan menyerahkan lelaki warga asing itu kepada pihak polis di One Stop Centre Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Selangor kerana dipercayai mencuri sebuah motosikal.

Beliau berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Azri berkata, siasatan kes kematian mengejut itu dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan jabatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 10:12 PM