Bahagian enjin lokomotif Ekspres Rakyat Timuran Nomnor 27 yang dilaporkan terbakar di Pasir Masmalam tadi. Foto Bernama
Bahagian enjin lokomotif Ekspres Rakyat Timuran Nomnor 27 yang dilaporkan terbakar di Pasir Masmalam tadi. Foto Bernama
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesahkan tren Ekspres Rakyat Timuran Nombor 27 mengalami kebakaran pada bahagian enjin di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, ia tidak membabitkan sebarang kecederaan kepada 180 penumpang dalam kejadian di Kilometer (KM) 490.50- 491 di sini.

Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha berkata, kebakaran itu dapat dipadamkan pada 12.20 tengah malam oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Mas dan Tanah Merah selepas mendapat laporan daripada pihak KTMB pada 9.20 malam.

"Semua penumpang juga selamat dikeluarkan dengan bantuan kakitangan dan anggota Polis Bantuan KTMB yang bertugas sementara menunggu kebakaran dipadamkan.

"Kebakaran ini tidak membabitkan nyawa penumpang di dalam tren serta pemandu yang bertugas kerana ia hanya berlaku di bahagian enjin lokomotif dan tidak merebak ke gerabak penumpang.

"Semua gerabak berkenaan kemudiannya ditarik dengan lokomotif bantuan ke Stesen Pasir Mas, manakala penumpang yang terjejas dapat meneruskan perjalanan dengan selamat ke destinasi masing-masing pada 2.46 pagi," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Zain berkata, KTMB terus memperbaiki setiap kelemahan yang ada bagi memberi khidmat terbaik kepada pelanggan selain berharap insiden sebegitu tidak berulang lagi.

Menurutnya, orang ramai boleh melayari saluran media sosial KTMB atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 12:48 PM