Sebahagian tangkapan yang berjaya ditahan kerana menyertai pesta liar di sebuah rumah di Taman Sri Impian, Kluang. FOTO IHSAN POLIS
Sebahagian tangkapan yang berjaya ditahan kerana menyertai pesta liar di sebuah rumah di Taman Sri Impian, Kluang. FOTO IHSAN POLIS
Adnan Ibrahim


Kluang: Seramai 16 individu yang mengadakan pesta liar di sebuah inap desa di Taman Sri Impian, dekat sini, ditahan polis, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, bertindak diatas maklumat awam, sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang melakukan serbuan ke inap desa itu pada 1.30 pagi.

Katanya, hasil serbuan itu, pihaknya menahan 11 lelaki dan lima wanita berusia antara 16 hingga 25 tahun selepas didapati mengadakan parti liar itu.

"Polis turut merampas dadah Syabu dengan anggaran berat 4.87 gram, selain peralatan lampu dan pembesar suara yang digunakan untuk mereka berpesta.

"Ujian saringan air kencing mendapati sembilan lelaki dan seorang wanita positif dadah methamphetamine, amphetamine dan ketamin," katanya kepada media, hari ini.

Katanya, mereka ditahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan Peraturan 11 (1) PPKPB 7/20.

"Semua tahanan di reman selama lima hari bermula hari ini hingga 18 Oktober.

"Orang ramai diingatkan sentiasa mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 4:19 PM