GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan memberi jaminan bekalan telur ayam pelbagai gred mencukupi dan mudah diperoleh untuk pengguna di negeri itu.

Exco Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar negeri, S Veerapan berkata, ia berdasarkan pemeriksaan penguat kuasa KPDNHEP negeri selama dua hari bermula Jumaat lalu terhadap 29 premis membabitkan hypermarket, pasar raya besar, pasar mini, kedai runcit dan pembekal telur di pasar awam.

"Kekerapan premis runcit mendapat bekalan telur ayam daripada pembekal di Negeri Sembilan dan Melaka adalah sekitar dua hingga tiga kali seminggu.

"Jumlah bekalan diterima pula bergantung kepada tempahan dilakukan oleh pihak premis itu," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Sembilan, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima aduan berhubung gangguan bekalan telur ayam daripada pengguna.

Menurutnya, penguat kuasa KPDNHEP sentiasa memantau kedudukan bekalan telur ayam di 151 'District-Dedicated Retailers' (DDR) dan 33 'District-Dedicated Wholesalers' (DDW) di seluruh negeri.

"Berdasarkan pemantauan di 31 premis di seluruh negeri selama 10 hari bermula 18 Januari sehingga Jumaat lalu, 30 daripadanya masih menjual ayam standard (1 kilogram) mengikut harga maksimum ditetapkan di bawah SHMKM.

"Secara purata kebanyakan premis menjual harga ayam standard dengan harga minimum RM7.80 sekilogram dan paling tinggi RM7.90 sekilogram berbanding harga maksimum ayam standard iaitu RM9.10 sekilogram.

"Kami tidak menerima sebarang aduan berhubung harga ayam itu melebihi harga kawalan ditetapkan selain tiada gangguan bekalan ayam standard," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, harga barangan makanan masih terkawal biarpun ada sedikit peningkatan dan pemeriksaan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, KPDNHEP Negeri Sembilan sudah mengeluarkan kompaun berjumlah RM219,000 daripada 532 kes sepanjang 2021.

Katanya, KPDNHEP turut mengenakan denda RM1,355,000 selepas memeriksa 40,760 premis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 4:28 PM